Saya tidak menyatakan Syiah tidak
bahaya, tetapi saya agak pelik apabila sang harimau tiba-tiba berlagak baik
mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya serigala. Baguslah kalau harimau
tiba-tiba ingin menjadi baik, tetapi sekurang-kurangnya bersihkanlah taring dan
kuku terlebih dahulu daripada daging mangsa
Jika Syiah Menipu, Nasionalis
Sekular Apa Kurangnya?
Saya terbaca kenyataan seorang
pemimpin sebuah parti politik yang menyebut tentang Syiah. Katanya, ciri utama
Syiah ialah menipu. Saya sekadar ingin memberikan respon ringkas sahaja. Jika
ciri utama Syiah disebut oleh beliau sebagai menipu, maka nasionalis sekular
pun tidak kurang menipu berbanding Syiah. Tidakkah menipu namanya apabila
mewar-warkan kononnya berjuang untuk kepentingan agama namun di dalam masa yang
sama bekerja untuk membelakangi syariat agama tersebut? Tidakkah menipu namanya
apabila bermegah-megah dengan binaan masjid yang banyak dan indah tetapi tidak
berusaha mendaulatkan hukum Allah SWT? Sedangkan Allah SWT yang disembah di dalam
masjid itu ialah Allah yang sama yang berkuasa di luar masjid? Atau mereka
menyembah tuhan yang berlainan di dalam dan di luar masjid?
Hakikatnya, nasionalis sekular lebih
hebat menipu berbanding Syiah. Syiah ialah musuh yang sudah muncul sejak
berbelas abad. Ciri-ciri akidah mereka telah ditulis dan diterangkan oleh para
ulama Sunnah di dalam banyak penulisan. Tinggal lagi, menjadi peranan para
ulama untuk memastikan umat Islam tidak terjebak dengan penyelewengan Syiah.
Saya tidak menyatakan Syiah tidak bahaya, tetapi saya agak pelik apabila sang
harimau tiba-tiba berlagak baik mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya
serigala. Baguslah kalau harimau tiba-tiba ingin menjadi baik, tetapi
sekurang-kurangnya bersihkanlah taring dan kuku terlebih dahulu daripada daging
mangsa.
Alasan untuk mengingatkan masyarakat
tentang bahaya Syiah ialah agar umat Islam tidak berpecah belah. Saya sokong
bahawa Syiah tidak wajar wujud di negara ini. Namun dengan meletakkan alasan
agar umat Islam tidak berpecah belah menampakkan pemimpin berkenaan masih kabur
dalam terang. Benarlah tanpa lampu suluhan akidah yang benar, meraba-rabalah
dalam kegelapan sekalipun mata tidak buta.
Manusia hanya boleh bersatu dengan
Islam. Bukan seruan kebangsaan yang boleh menyatukan manusia. Usahlah
disebarkan khurafat moden bahawa merekalah satu-satunya tempat untuk Melayu
bergantung. Sedarkah bahawa dahan yang didakwa kuat itu sedang mereput dimakan
anai-anai? Di zaman Rasulullah SAW, bangsa Habsyah dan bangsa Parsi boleh
tunduk di bawah naungan Islam dan bukannya seruan kebangsaan. Rasulullah SAW
seorang yang berbangsa Arab tidak pernah sesekali menyeru kepada semangat
kebangsaan. Bahkan sekalipun bangsa Arab seringkali mendakwa diri mereka
sebagai bangsa yang mulia, ia tidak sekali-kali diungkapkan oleh baginda
Rasulullah SAW. Inilah yang memikat bangsa lain untuk tunduk kepada Islam.
Jika nasionalis sekular itu
benar-benar mahu masyarakat bersatu, campakkanlah ke laut ideologi kebangsaan
yang tidak membawa apa-apa manfaat itu. Palsunya seruan yang dilaungkan
sehingga bangsa pun tidak pernah dijaga. Kelantan menjadi bukti nyata. Negeri
Melayu dipinggirkan dari pembangunan semata-mata kerana kerasukan politik sang
harimau yang berpura-pura baik.
Justeru, janganlah mendabik dada
diri sangat sebagai pembela Islam dengan menghentam Syiah. Masyarakat sudah
bijak untuk menilai bahawa bukannya Syiah yang ingin diserang, tetapi parti
lawan yang semakin mendapat sambutan. Jika benar ingin membasmi Syiah, lakukan
sahaja tangkapan dan tidak perlu berdolak-dalik. Soalnya, bagaimana ingin
membuat tangkapan sedangkan di dalam parti sendiri pun berselindung penganut
ajaran sesat.
Saya tidak menamakan sesiapa di
dalam tulisan ini. Alhamdulillah jika ia boleh difahami dengan baik.
Allayarham Dato’ Bentara Setia Tuan
Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Mat,
Mantan Al-Mursyidul Am Parti Islam
Semalaysia (PAS)
Posted by Panglima Pangeran Cakrabuana
No comments:
Post a Comment