Imam Ahmad bin
Muhammad bin Hambal. Beliau adalah Imam yang keempat dari fuqahak Islam. Beliau
memiliki sifat-sifat yang luhur dan tinggi. Ahmad bin Hambal dilahirkan di
Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H. Beliau termasyhur dengan nama
datuknya Hambal, kerana datuknya lebih masyhur dari ayahnya.
Ibnu Hambal hidup
dalam keadaan miskin, kerana ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan
tanah yang sempit. Beliau terpaksa melakukan berbagai pekerjaan. Beliau pernah
bekerja di tempat tukang jahit, mengambil upah menulis, menenun kain dan
kadangkala mengambil upah mengangkat barang-barang orang. Beliau lebih
mementingkan makanan yang halal lagi baik dan beliau tidak senang menerima
hadiah-hadiah.
Ketika ia masih
berumur 14 tahun, Ahmad bin Hambal telah belajar mengarang dan menghafal
Al-Quran. Beliau bekerja keras dalam menuntut ilmu pengetahuan. Sebagai seorang
ulama yang sangat banyak ilmunya, Ibnu Hambal pun seorang yang teguh imannya,
berani berbuat di atas kebenaran. Dia tidak takut bahaya apa pun terhadap
dirinya di dalam menegakkan kebenaran itu. Kerana Allah memang telah menentukan
bahawa setiap orang yang beriman itu pasti akan diuji keimanannya. Termasuk
juga para nabi dan rasul yang tidak pernah lepas dari berbagai ujian dan
cubaan.
Ujian dan
cubaan berupa fitnah, kemiskinan, seksaan dan lain-lainnya itu selalu akan
mendampingi orang-orang yang beriman apalagi orang yang menegakkan kebenaran.
Demikian juga halnya dengan Imam Hambali, terlalu banyak bahaya yang
dihadapinya dalam berjuang menegakkan kebenaran agama. Ujian itu datangnya
bermacam-macam kadangkala dari musuh kita dan dapat juga timbul dari
kawan-kawan yang merasa iri dengan kebolehan seseorang.
Imam Hambali
berada di zaman kekuasaan kaum Muktazilah yang berpendapat bahawa Quran itu
adalah makhluk. Pendirian ini begitu kuatnya di kalangan pemerintah, sehingga
barangsiapa yang bertentangan pendirian dengan pihak pemerintah tentu akan
mendapat seksaan. Sebelum Al-Makmun ini, yakni di zaman sultan Harun Al-Rasyid,
ada seorang ulama bernama Basyar Al-Marisy berpendapat bahawa Quran itu adalah
makhluk. Baginda Harun Al-Rasyid tidak mahu menerima pendapat tersebut. Bahkan
terhadap orang yang berpendapat demikian akan diberi hukuman. Kerana ancaman
itu akhirnya Basyar melarikan diri dari Baghdad.
Sultan Harun
Al-Rasyid pernah berkata: “Kalau umurku panjang dan masih dapat berjumpa dengan
Basyar nescaya akan kubunuh dia dengan cara yang belum pernah aku lakukan
terhadap yang lain?” Selama 20 tahun lamanya Syekh Basyar menyembunyikan diri
dari kekuasaan Sultan.
Tetapi setelah
Sultan Harun Al-Rasyid meninggal dunia, kemudian diganti dengan puteranya
Al-Amin barulah Syekh Basyar keluar dari persembunyiannya. Kembali ia
mengeluarkan pendapatnya itu, bahawa Quran itu adalah makhluk. Al-Amin juga
sependirian dengan ayahnya tidak setuju dengan pendapat tersebut. Ia mengancam
berat terhadap orang yang mengatakan Quran itu makhluk.
Kemudian kepala
negara pindah lagi ke tangan saudara Al-Amin iaitu Al-Makmun. Di zaman
pemerintahan Al-Makmun inilah pendapat tentang Quran itu makhluk mula diterima.
Al-Makmun sendiri telah terpengaruh dan ikut berpendapat demikian. Pada suatu
kali oleh Al-Makmun diadakan pertemuan para ulama besar, untuk membincangkan hal
itu, tetapi para ulama tetap berpendapat bahawa Al-Quran itu adalah makhluk.
Al-Makmun mengharapkan supaya pendapat itu diterima orang ramai.
Pada masa itu
satu-satunya ulama yang keras berpendirian bahawa “Al-Quran itu bukan makhluk?”
Hanyalah Imam Hambali. Secara terus terang ia berkata di hadapan Sultan:“Bahawa
Al-Quran bukanlah makhluk yang dijadikan Allah, tetapi ia adalah Kalamullah.”
Imam Hambali
satu-satunya ulama ketika itu yang berani membantah, sedangkan yang lainnya
diam seribu bahasa. Kemudian ia ditangkap dan dihadapkan ke hadapan baginda. Ia
dipanggil bersama tiga orang ulama yang lainnya, iaitu Imam Hassan bin Muhammad
Sajah, Imam Muhammad bin Nuh dan Imam Ubaidah bin Umar. Kedua ulama di antara
mereka sama menjawab dan membenarkan pendapat baginda sementara Imam Hambali
dan Imam Muhammad bin Nuh dengan tegas menjawab bahawa Quran itu bukanlah
makhluk. Keduanya lalu dimasukkan ke dalam penjara. Setelah beberapa hari dalam
penjara datang surat dari Tharsus yang meminta supaya keduanya dibawa ke sana
dengan dirantai.
Kedua ulama
tersebut betul-betul dirantai kedua kaki dan tangannya dan ditunjukkan di
hadapan orang ramai. Kemudian dibawa ke Tharsus, sesampainya di sana keduanya
dimasukkan ke dalam penjara. Kerajaan mempunyai seorang ulama besar bernama
Ahmad bin Abi Daud, yang pandai berbicara namun lemah dalam pendirian.
Terhadap Imam
Hambali mereka minta supaya dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya.
Baginda raja menerima usulan tersebut. Lalu Imam Hambali dihadapkan depan raja
dan ditanyakan tentang pendiriannya. Namun ia tetap menyampaikan pendiriannya
bahawa Al-Quran itu ialah Kalamullah bukan makhluk. Dan ia menegaskan lagi
bahawa ia tidak akan berubah dari pendiriannya itu.
Akhirnya
terjadilah persidangan yang dipimpin oleh baginda sendiri. Kemudian baginda
memanggil Imam Hambali dan berkata: “Atas nama saya sebagai kerabat Nabi
Muhammad SAW saya akan memukul engkau beberapa kali, sampai engkau membenarkan
apa yang telah saya benarkan, atau mengatakan seperti yang saya kata?” Kerana
Imam Hambali masih tetap dengan pendiriannya, maka baginda memerintahkan kepada
perajuritnya untuk memukul Imam Hambali.
Ketika cambuk
yang pertama singgah di punggung beliau, beliau mengucapkan “Bismillah.” Ketika
cambuk yang kedua, beliau mengucapkan “La haula walaa quwwata illaa billah”
(tiada daya dan kekuatan apa pun kecuali izin Allah). Ketika cambuk yang ketiga
kalinya beliau mengucapkan “Al-Quran kalaamullahi ghairu makhluk” (Al-Quran
adalah kalam Allah bukan makhluk). Dan ketika pada pukulan yang keempat, beliau
membaca surah At-Taubah ayat 51.
“Katakanlah:
Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah
bagi kami.”
Sehingga
seluruh badan beliau mengalir darah merah.
Akhirnya beliau
dimasukkan ke dalam penjara kembali. Pada suatu hari ketika Imam Hambali dibawa
ke Kota Anbar dengan tangan yang terbelenggu, seorang yang alim bernama Abu
Ja’far Al-Anbari menghampiri beliau. Imam Hambali bertanya kepadanya: “Hai Abu
Ja’far apakah engkau susah melihat keadaanku?” “Tidak wahai Imam, engkau adalah
pemuka umat, kerana umat manusia ada di belakangmu. Demi Allah, bila engkau
mahu menjawab bahawa Quran itu makhluk, pastilah umat akan mengikutimu, dan
bila engkau tidak mahu menjawab, maka umat juga tidak mahu menjawab seperti apa
yang ingin engkau jawab. Bila engkau tidak mati dibunuh orang, pasti engkau
juga akan mati dengan cara yang lain. Maka janganlah engkau mahu menuruti
kehendak mereka.”
Mendengar
kata-kata Ja’far itu beliau mencucurkan air mata dan berkata: “Masya-Allah!, Masya-Allah!,
Masya-Allah!. Kemudian beliau pun dikunjungi oleh bekas penjahat bernama Abdul
Haitsam Al-Ayyar dan berkata kepada beliau: “Wahai Imam, saya ini seorang
pencuri yang didera dengan beribu-ribu cambukan, namun saya tidak mahu mengakui
perbuatan saya, pada hal saya menyedari bahawa saya salah. Maka janganlah Imam
gelisah dalam menerima dera, sebab engkau dalam kebenaran.”
Ketika Khalifah
Al-Makmun meninggal dunia pada tahun 218H (833 M) setelah memerintah 20 tahun
lamanya, yang mengganti beliau ialah saudaranya yang bernama Ishaq Muhammad bin
Harun Al-Rasyid yang bergelar dengan Al-Muktashimbillah. Sebelum Khalifah
Al-Makmun meninggal dunia beliau telah berpesan kepada bakal penggantinya itu
bahawa faham Al-Quran itu makhluk harus dipertahankan.”
Kebijaksanaan
kerajaan yang menyeksa para ulama yang tidak sependirian dengan faham kerajaan
itu atas dasar hasutan seorang ulama kerajaan yang bernama Qadhi Qudhoti Ahmad
bin Abi Daud (Daud). Ulama inilah yang memberikan usulan kepada Al-makmun
bahawa jika Imam Ahmad bin Hambal tetap tidak mahu mengikuti bahawa Al-Quran
itu makhluk hendaklah dihukum dengan hukuman yang berat.
Setelah
kerajaan dipegang oleh Al-Muktasim ulama Ahmad bin Daud masih tetap menjadi
qadi kerajaan. Pada suatu hari Qadi kerajaan ini cuba mengadili Imam Hambali
dengan melakukan perdebatan akhirnya Ahmad bin Daud kalah kerana tidak dapat
mengemukakan alasan yang lebih kuat. Walaupun demikian Imam Hambali tetap
dimasukkan kembali ke dalam penjara.
Pada bulan
Ramadhan pengadilan terhadap Imam Hambali diadakan lagi. Khalifah Al-Muktashim
bertanya: “Al-Quran itu adalah baru, bagaimana pendapat anda.” “Tidak!,
Al-Quran adalah kalam Allah, saya tidak sejauh itu membahasnya kerana di dalam
Al-Quran dan hadith tidak disuruh membahas soal tersebut.” Jawab beliau.
Beliau dicambuk
sampai berdarah, pada hal ketika itu bulan puasa. Baginda berkata: “Kalau kamu
merasa sakit dengan pukulan ini, maka ikutilah saya, dan akuilah bahawa
Al-Quran itu makhluk, supaya kamu selamat.”
Penderaan pun
terus berlangsung, sehingga beliau terasa bahawa tali seluar yang menutup
auratnya putus dan hampir turun ke bawah. Beliau pun mengangkatkan mukanya ke
atas sambil berdoa: “Ya Allah!, atas namaMu yang menguasai Arsy, bahawa jika
Engkau mengetahui bahawa saya adalah benar, maka janganlah Engkau jatuhkan
penutup aurat ku.” Ketika itu pula
seluar beliau yang akan jatuh itu naik ke atas kembali sehingga aurat beliau
tidak jadi terlihat oleh orang ramai.
Penyeksaan
terhadap beliau itu baru berakhir setelah selesai maghrib. Para hakim dan
orang- orang hadir kemudian berbuka puasa di hadapan beliau. Sementara beliau
dibiarkan saja tidak diberi sesuatu makanan untuk berbuka. Demikianlah
seterusnya, pada hari yang kedua pun beliau masih tetap didera sampai seluruh
badannya mencucurkan darah. Pada hari ketiga beliau masih tetap didera sehingga
pengsan.
Setelah
Al-Muktashim meninggal dunia ia diganti dengan puteranya Al-Watsiq. Pada masa
ini banyak penganiayaan dilakukan terhadap para ulama. Khalifah Al-Watsiq
inilah yang memancung leher ulama terkenal yakni Ahmad bin Naser Al-Khuza’i.
Kepala Ahmad bin Naser digantung dan diletak tulisan yang berbunyi: “Inilah
kepala Ahmad bin Naser yang tidak mahu mengakui bahawa Al-Quran itu makhluk, maka
Tuhan memasukkan Ahmad bin Naser ke dalam neraka, kepala ini menjadi peringatan
bagi mereka yang memalingkan dirinya dari kiblat.” Demikianlah tulisan yang
diletakkan dekat leher Ahmad bin Naser.
Kemudian
Khalifah Al-Watsiq meninggal dunia dan digantikan dengan saudara beliau yang
bernama, Al-Mutawakkil. Pada masa inilah dicabut tentang faham muktazilah dan
diadakan pembebasan terhadap semua ulama yang ditahan, termasuk Imam Ahmad bin
hambal. Sementara itu Imam Hambali setelah dibebaskan beliau diberi hadiah
sebanyak l0,000 dirham, namun hadiah tersebut beliau tolak. Kerana dipaksa
untuk menerimanya, akhirnya beliau terima dan dibahagi-bahagikan kepada fakir
miskin.
Pada hari
Jumaat tanggal 12 Rabiul Awal tahun 241 H/855 M beliau meninggal dunia yang
fana ini dengan tenang dalam usia 77 tahun. Setelah mendengar wafatnya beliau,
seluruh Kota Baghdad menjadi gempar jenazah beliau disembahyangkan lebih dari
130,000 orang muslimin. Demikian berakhirnya riwayat seorang penegak kebenaran
dan meninggikan ilmu pengetahuan, setelah melalui berbagai seksaan dan
penganiayaan. Semoga mereka yang berjuang pada jalan Allah menjadi kekasih
Allah, yang selalu mendapat keberkahannya dan keredhaanNya.
Banyak lagi
mereka yang berjuang pada jalan Allah akhirnya menerima ujian dan cubaan dengan
berbagai penganiayaan dan seksaan.
Firman Allah
ertinya:
“Apakah manusia
itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan. “Kami telah beriman,
sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang
sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang- orang yang benar dan
sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut:
2-3)
Posted by
Panglima Pangeran Cakrabuana
No comments:
Post a Comment