Dalam
sesi muzakarah kali ini, saya hendak menarik perhatian tentang 5 perkara yang
patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang
menjalani hidup ini. Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang
kelima-lima perkara ini iaitu:
·
Perbanyakkan
menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
Sudah
menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik
kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak
nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji
dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji
habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat.
Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika,
bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa.
Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.
·
Perbanyakkan
menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
Dunia
terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal
dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini
berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu
juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya
orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa
Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk
merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang
paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan
merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah
menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur
saham akhirat.
·
Perbanyakkan
menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.
Kita sering memikirkan bekalan
hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati.
Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi
diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke
akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah
dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak
usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam
hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan
syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan
untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita
yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?
·
Jangan
menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
Syaitan memang sentiasa hendak
memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya
sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama
ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang
kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam ‘bertelur sebiji riuh
sekampung’. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu
sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api
dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat
lagi jika menimbulkan ria’ atau bangga diri yang mana Allah telah memberi
amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria’) tidak akan mencium bau syurga. Ria’
adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati
supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang
lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu
sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita
patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya
mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang
mengurniakan kebaikan itu.
·
Jangan
sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.
Kegelapan hati ditokok dengan
rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan
orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat
keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua ‘kuman
seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan’. Islam menuntut
kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki
kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya
memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari
telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke
arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih
buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri
kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan
tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu
dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada
pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya.
Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita
walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari
bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan
kita ke dalam api neraka.
Semoga
5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam
kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan
Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin…
Posted by Panglima Pangeran Cakrabuana
No comments:
Post a Comment