Tuesday, 29 December 2015

Buah Pukul Dalam Seni

Orang yang sebenarnya berani ialah mereka yang tak lekas patah hati, tetapi bertahan dengan menghadapi setiap dugaan dan cabaran.

Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup.Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian

Melayu oh! melayu
Perwira oh! perwira
Pahlawan oh! pahlawan
Pendekar oh! pendekar
Laksamana oh! laksamana
Hulubalang oh! hulubalang


Berjuanglah kalian
Hingga ke titisan darah terakhir
Fisabilillah lah kamu jangan jemu
Syahidmu di medan juang
Allah sayang padamu
Syurga Firdausi tempatmu
SUBHANALLAH ALHAMDULILLAH ALLAHU AKBAR
Syukurlah olehmu kerana Allah memilihmu
Syahid ke jalan-Nya
Pendekarku kau adalah TENTERA ALLAH
Aku bangga denganmu
Sekalung bunga Syurga kukirimkan padamu
Percayalah bidadari menantimu di Syurga Firdausi
Balasan syahidmu ikhlas kerana-Nya

Posted by Panglima Pangeran Cakrabuana

Friday, 25 December 2015

Pembangunan Dari Perspektif Al Quran dan As Sunnah

Masyarakat yang termasuk dalam kelompok yang diistilahkan sebagai Negara-negara yang sedang membangun ketika ini sedang mengalami semacam keadaan terpukau dengan slogan-slogan seperti pembangunan Negara, nation building dan seumpamanya. Kalimat pembangunan telah dikeramatkan begitu rupa sehingga hampir berstatus kalimat suci yang tidak boleh dipersoal lagi. Sebenarnya apa yang disebut pembangunan itu rata-rata menjurus ke arah penghancuran kemanusiaan atau dehumanisasi. As Syahid Sayyid Qutb yang menjelaskan fenomena trajis ini dengan istilah At Tadmiru insan (penghancuran kemanusiaan) menyatakan bahawa manusia sedang mengalami proses penghapusan ciri-ciri kemanusiaannya dan sekaligus mengalami proses pemupukan ciri-ciri kerobotan dan kehaiwanan. Inilah yang sebenarnya yang berlaku disebalik tabir indah pembangunan.

Hakikat mengingatkan kita kepada firman Allah,


وَإِذَا قِيْلَ لَهُمْ لاَ تُفْسِدُوْا فِي الأَرْضِ قَالُوْا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُوْنَ . أَلاَ إِنَّهُمْ هُمُ المُفْسِدُوْنَ وَلَكِنْ لاَ يَشْعُرُوْنَ.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.
“Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”. Al Baqarah 11-12

Apa yang didakwakan sebagai pembangunan (islah) itu sebenarnya adalah kerosakan (fasad) dan golongan yang mendakwa sebagai pembangun itu (muslihun) sebenarnya adalah perosak (mufsidun) tetapi mereka tidak menginsafi lantas tidak mengakuinya. Ianya adalah pembangunan kebendaan melulu yang bebas dari ikatan nilai dan kawalan norma samawi, tegasnya pembangunan permisif dan anarkis (ibahiyy dan fawdawiyy) yang tidak mengenal batas halal-haram atau nilai ma’ruf munkar – apa sahaja asal memberi laba. Demikianlah arah dan padah pembangunan yang mengabaikan dimensi kemanusiaan dan menolak nilai-nilai ketuhanan.
Pembangunan yang berorentasi permisif dan anarkis buka sahaja telah menghancurkan ciri-ciri kemanusiaan malah dengan sewenang-wenangnya telah mencabul dan memperkosa alam. Atas nama pembangunan berleluasalah penggalian bumi, peruntuhan gunung, penebangan hutan, pendirian industri-industri raksasa dengan sewenang-wenang tanpa pertimbangan ekologi dan kemanusiaan. Akibatnya alam dan kehidupan menderita mala-petaka hakisan dan pencemaran secara besar-besaran. Apa yang menjadi perhitungan hanya kepentingan materi- untung yang menggunung dan laba yang berjuta.

MODEL PEMBANGUNAN RASUL S.A.W.

Sebenarnya pembangunan bukan satu isu baru dalam sejarah peradaban manusia. Setiap tamadun yang pernah lahir dalam sejarah mempunyai dasar pembangunannya sendiri. Dalam hubungan ini Islam sejak saat-saat awal kelahirannya lagi sudah mengajukan dasar pembangunannya sebagaimana yang telah dibuktikan sendiri secara lisannu hal oleh Rasulullah s.a.w. Junjungan telah ditampilkan untuk menangani permasalahan dunia yang umumnya sedang gawat dengan pelbagai kerosakan dan kebejatan yang global dan merata. Rasanya ayat berikut cukup untuk menggambarkan kegawatan tersebut.

ظَهَرَ الفَسَادُ فِي البَرِّ وَالبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيْقَهُمْ بَعْضَ الَّذِيْ عَمِلُوْا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُوْنَ.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. Ar-rum: 41

Suasana kejahilan yang mendominasikan masyarakat kota makkah ketika itu adalah mewakili dan mencerminkan kejahilan dunia seluruhnya. Dalam rangka membangun masyarakat yang demikian rupa Rasulullah s.a.w. telah menggunakan formula Pembangunan Insan- membebaskan dari segala bentuk pengabdian selain Allah menerusi akidah La ila ha illa Allah. Rangkaian kalimat-kalimat tersebut adalah merupakan deklarasi kebebasan manusia dari segala kekangan faham keberhalaan dan kebendaan, kelepasan belenggu perhambaan manusia dengan segala sistem,nilai, akta dan ordinan bikinannya, kemerdekaan dari kongkongan hawa nafsu dengan segala runtuhan dan keserekahannya. Manusia hanya dan cuma menjadi hamba kepada Allah yang maha Esa sahaja – tidak kepada apa dan siapa selainNya. Dengan demikian manusia memperoleh karamahnya digniti dan harga dirinya selaku makhluk merdeka, mulia dan istimewa.

Pembangunan insan adalah mencakup seluruh dimensi kemanusiaan seutuhnya- rohaniyah, akliyah dan jasmaniyah. Rohaniyahnya dibangun dengan iman dan takwa menerusi orientasi ketekunan beribadah, pupukan sifat-sifat keutamaan dan pegasimilasian sifat-sifat ketuhanan (Takhalaqu bi akhlaqi ‘Llah – al Hadith). Akliyahnya dibangunkan dengan membebaskan dari belengggu tahyul, khurafat dan fahaman sesat lantas mengarahkannya memerhati dan meneliti semesta raya dengan segala fenomena dan panoramanya secara rasional dan saintifik. Sesudah itu digugah dengan kejutan afala ta’qilun? Afala tatafakkarun? – tidakkah kamu fikirkan? Ini adalah lonjakan pertama ke arah kemajuan dan pemikiran selanjutnya. Di samping itu manusia diinsafkan bahawa akal adalah anugerah istimewa yang mencirikan kemanusiannya dan sekaligus amanah tuhan yang harus dipelihara kewarasannya.

Jasmaniyahnya pula dibangunkan dengan melayani hak-hak dan keperluan asasinya – makan minum dan perlindungan yang secukup dan sebaiknya. Pembinaan tubuh diberinya nilai keimanan yang sewajarnya (mu’min yang gagah lebih baik daripada mu’min yang lemah – maksud Al Hadith). Kesihatan tubuh adalah merupakan satu lagi amanah Allah kepada manusia. Ianya harus sentiasa dipelihara dari segala bahaya dan salahguna. Kesihatan tubuh adalah penting untuk memungkinkan manusia memenuhi fungsi hidupnya- mengabdi kepada Khaliq berbakti kepada makhluk.
Pembangunan insan tidak hanya terbatas pada tahap individu tetapi mencakup juga pembangunan insan pada tahap kolektif. Dengan ungkapan lain, pembangunan insan fardiah dan jamaiyyah. Diaturnya kehidupan berkeluarga dengan segala hukum hakamnya sehingga kehormatan keluarga terjamin dan terkawal. Seterusnya diatur pula kehidupan bermasyarakat dengan dasar-dasar persaudaraan dan keadilan,permuafakatan dan ketaatan. Dengan prinsip-prinsip ini terbangunlah masyarakat unggul dengan rakyat yang sahih dan imam yang adil.

PEMBANGUNAN MATERIAL

Pembangunan material (kebendaan) juga termasuk dalam rangka pembangunan insan. Manusia diwajibkan kasbu al halal – mencari dan menggali khazanah anugerah Allah secara wajar dan halal. Memang segala kekayaan di bumi ini disediakan buat manusia tetapi pemilik hakikinya tetap Allah, manusia diberi hak memanfaatkannya menurut cara yang diizinkannya. Dengan ugkapan lain bumi dengan segala potensinya adalah merupakan amanah Allah yang dimandatkan kepada manusia yang dikhalifahkan untuk dibangunkan dan dimakmurkan. Oleh itu segala usaha pembangunan harus sentiasa dikawal oleh rasa tanggungjawab kekhalifahan – rasa tanggungjawab sebagai perlaksanaan perintah, hukum,nilai dan amanah ketuhanan seluruhnya.

Pembangunan material harus direncana dan digubah begitu rupa sehingga manfaatnya tidak hanya terbatas dalam kehidupan duniawi kini malah dapat pula dimanfaatkan dalam kehidupan ukhrawi yang abadi nanti. Tegasnya pembangunan dalam perspektif Islam mempunyai matlamat jangka panjang yang menjangkau ke alam ukhrawi. Ianya dilaksanakan dalam rangka merealisasikan cita-cita hasanatan fid dunya dan hasanatan fi ‘l akhirah; sebagaimana ianya juga dilaksanakan dalam rangka menyahut seruan Ilahi “ Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.- maksud al Quran 28:77. Ertinya matlamat dan strategi pembangunan tidak harus terkeluar dari hakikat bahawa kebahagiaan ukhrawi itulah yang utama sedang kesenangan duniawi adalah soal kedua – survival ukhrawi dengan tidak usah sampai melupakan kesejahteraan duniawi.

Pembangunan materi juga tidak seharusnya terkeluar dari landasan mengabdi kepada yang maha Esa dan berbakti kepada sesama manusia. Atas dasar ini maka pembangunan harus dikendalikan menurut norma-norma samawi sehingga ianya dapat diterima sebagai amal salih di sisi Ilahi dan sekaligus merupakan bukti yang dapat dinikmati bersama oleh masyarakat manusia seluruhnya.
Pembangunan materi juga tidak harus ditanggapi sebagai suatu yang bersifat otonom dan berdiri sendiri. Sebenarnya ia mempunyai hubungan saling kait dengan lain-lain aspek yang non-material – yang tidak bersifat benda. Oleh itu strategi pembangunan tidak boleh didasarkan kepada faktor-faktor dan pertimbangan-pertimbangan materi dan ekonomi semata-mata. Para perancang dan pelaksana pembangunan harus menginsafi bahawa Iradah Ilahiyyah (divine will) adalah merupakan faktor penentu untung nasib kehidupan manusia di segala bidang termasuklah bidang pembangunan ekonomi. Dalam mengubah sunnahNya untuk diterpakan di sepanjang rangkaian kehidupan manusia Allah telah menetapkan bahawa iman dan taqwa adalah antara faktor utama yang turut menentukan kejayaan pembangunan ekonomi.

َولَوْ أَنَّ أَهْلَ القُرَى آمَنُوْا وَاتَّقُوْا لَفَتَحْناَ عَلَيْهِمْ بَرَكـَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوْا فَأَخَذْناَهُمْ بِمَا كَانُوْا يَكْسِبُوْنَ.

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.
Al A’raf : 96

Seterusnya pembangunan harus mendukung nilai syukur dengan erti bahawa ianya dilaksanakan dalam rangka menghargai dan mengsyukuri nikmat Allah. Dan sejalan dengan itu pula pembangunan harus bersih dari segala kufr – tidak mengsyukuri dan tidak menghargai atau menyalahgunakan nikmat Allah. Hanya pembangunan yang disemangati oleh nilai syukur sahajalah yang mungkin dapat survive – hidup terus dalam menempuh gelombang dan gelora sejarah. Sebaliknya apabila sesuatu pembangunan itu telah dicemari oleh gejala-gejala kufr – menampung unsur yang bertentangan dengan ajaran dan nilai ketuhanan – maka ianya tidak akan mampu bertahan lama kerana Sunnatullah telah menentukan padah kehancurannya,


وَضَرَبَ الله ُمَثَلاً قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلُِّّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللهِ فَأَذَاقَهَا اللهُ لِبَاسَ الجُوْعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوْا يَصْنَعُوْنَ.

“Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan”. An Nahl : 112

Pembangunan juga harus mendukung nilai ‘adl (keadilan) – memberikan hak kepada yang berhak sehingga pembangunan itu merupakan pembelaan terhadap mereka selama ini yang tidak dapat menikmati hak lantaran kelemahan mereka. Dan sejalan dengan itu pula pembangunan harus bersih dari segala gejala zulm (kezaliman) – menafikan hak mereka yang sebenarnya memang berhak. Dengan itu pembangunan tidak bererti proses penindasan dan proses perluasan jurang. Kezaliman merupakan satu lagi barah yang membawa padah kepada pembangunan sebagaimana yang telah terbukti dalam precedent sejarah umat silam,


وَكََََمْ قَصَمْناَ مِنْ قَرْيَةٍ كَانَتْ ظَالِمَةً وَأَنْشَأْنَا بَعْدَهَا قَوْمًا آخَرِيْنَ

“Dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang melakukan kezaliman dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai gantinya”.
Al anbiya’ : 11

Keadilan dalam pembangunan harus pula merata menggenapi seluruh lapisan masyarakat sehingga ianya benar-benar merahmati alam seisinya (rahmatan lil ‘alamin), terutama mereka yang miskin, terlantar dan gelandangan.

KEADILAN ALA MALAYSIA

Dalam hubungan ini wajar sekali diperlihatkan sejauh mana prinsip keadilan yang merata ini telah terlaksana dalam praktik pembangunan di Malaysia. Satu penyelidikan ilmiah yang dikendalikan bersama oleh Bank Dunia dan Universiti Sussex London, tidak lama dahulu telah mendedahkan satu kenyataan yang amat menjolok di mana Malaysia (yang berslogan masyarakat adil ini) rupa-rupanya termasuk dalam kelompok negara-negara yang mengalami keadaan high inequality (jurang ketidak seimbangan yang sangat dalam). 40% daripada penduduknya yang berpendapatan rendah menerima tidak sampai 12% dari jumlah pendapatan negara.

Rekod high inequality ini nampaknya terus dipertahankan hingga ke era Dasar Ekonomi Baru sekarang ini. Antara perkembanga mutaakhir yang membuktikan hakikat ini termasuklah Kongres Ekonomi Bumiputra baru-baru ini yang jelas lebih menumpu kepada ekonomi golongan yang bermoral besar sahaja sedang ekonomi rakyat terbanyak yang masih terletak di bawah garis kemiskinan (poverty line) telah diabaikan.

Pembangunan Islamiyyah dengan dasar keadilannya yang merata dan dengan dasar pengutamaan kepentingan awamnya sama sekali tidak dapat mengizinkan pembolotan harta oleh golongan-golongan tertentu. Nampaknya pakar-pakar pembangunan kita masih setia berpegang dengan teori basi W. Arthur Lewis, “ our subject matter is growth, and not distribution”. (persoalan kita adalah pertumbuhan dan bukannya pengangihan). Kerana itu kayu ukur yang digunakan ialah pertambahan GNP (pendapatan kasar negara) atau pertambahan pendapatan perkapita yang sama sekali tidak mencerminkan kemakmuran yang merata.

RUMUSAN CIRI PEMBANGUNAN ISLAM

Jelas kiranya bahawa pembangunan dalam perspektif Islam adalah pembangunan manusia seutuhnya – mengenepikan segala dimensi dan potensi kemanusiaan dan pembagunan masyarakat seluruhnya- meratai setiap golongan dan lapisannya. Pembangunan adalah bersifat berbilang bidang (multi-dimensional) tetapi sekaligus padu (integrated) pembangunan yang mencangkup dimensi-dimensi kerohanian dan kebendaan dengan hubungan yang padu (integral) dalam kepelbagaian dimensinya, kepaduan yang berpaksikan Tauhid. Pembangunan adalah yang bersifat goal and value oriented – menuju ke arah matlamat keredaan Allah dan di dasari oleh nilai-nilai murni ajaran samawi. Dasar dan orientasi demikianlah yang mungkin membawa tercapainya idealisme pembangunan negara makmur dengan limpah pengampunan Tuhan.

َبلدَةٌ طَيّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

“ negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun”
Saba’ : 15

Petikan dari Ar Risalah bil 1 tahun 80


Posted by Panglima Pangeran Cakrabuana

Sunday, 20 December 2015

Mari Saya Belanja Satu Video Kebatinan Dalam Istilah "Tidak Lut" Atas Izin Allah Taala..
Ia Merupakan Satu Cabang Ilmu Syahadah Apabila Kerambit Tajam Kita Toreh Ke Kulit...
Hakikat Pasti Luka Dan Koyak Kulit...
Tapi Maarifat Nya Adalah Sebaliknya Ada Kalimah Allah...
Besi Hanya Besi Di Mana Manusia Lebih Mulia Darinya...
Allahu...
Berapa Hebat Allah Taala..
Kita Tiada Daya Upaya...
Hanya Insan Lemah Yang Sentiasa Berdosa...



Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".[At Taubah 9:51].inilah pegangan dan tauhid kita .bukan kebal tapi yakin akan perlindungan Allah swt. Kebal ini cuma istilah melayu.Dalam gayong maarifat kita tidak ada istilah kebal, kita panggil ilmu perisai diri.Kita didik diri kita dengan iman dan berlindung dari sebarang musibah dengan penuh tawadduk akan kekuasaan Allah swt.Kita yakin akan perlindunganNya YA MUHAIMINU dan kita yakin kekuasaaanNya yang maha mencegah YA MANI"U.Salahkah kita memohon perlindungan Allah swt dan yakin dengan kekuasaan Allah swt .Salahkah ahli pssgmm dididik dengan kepercayaan makhluk tidak dapat memberi bekas ,yang memberi bekas hanya Allah swt.Adakah peluru,parang,pisau lebih berkuasa dari Allah swt. Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.[Yunus 10:107]

Posted by Panglima Pangeran Cakrabuana

Wednesday, 16 December 2015

SYAHADAH

Rukun syahadah 4 perkara:
1. mengisbatkan zat Allah
2. mengisbatkan sifat Allah
3. mengisbatkan af’al Allah
4. mengisbatkan kebenaran Rasulullah

Syarat sah syahadah:
1. diketahui
2. diiqrarkan
3. ditasdiqkan
4. diamalkan

Binasa syahadah 4 perkara:
1. menduakan Allah
2. syak dan waham di dalam hati
3. menyangkal dirinya dijadikan oleh Allah
4. tidak mengisbatkan zat Allah

Syahadah terbahagi kepada 3 bahagian:
1. syahadah syariat
2. syahadah tarikat
3. syahadah hakikat

Syahadah syariat – mengucap syahadatain serta dikerjakan yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah

Syahadah tarikat – hendaklah kita melihat dengan sepenuhnya segala perkara yang terjadi pada kita dan sekalian makhluk samada baik atau jahat, semuanya datang dari Allah dengan qudrah dan iradahNya, serta ikhlas kita kepadaNya.

Syahadah hakikat – apabila kita sudah mengetahui dan yakini dengan sepenuhnya pada hati kita , dan diucapkan dengan syahadatain, iaitu telah nyata apa yang kita lihat dengan mata zahir, mata hati dan mata sir akan setiap perbuatan Allah dengan qudrah dan iradahNya. Maka zahirlah wujud itu di dalam setiap hal dan keadaan, sehingga kita pandang dengan mata sirr kita, tiada wujud yang lain melainkan wujud Allah semata-mata.

Syahadah ada 2 macam iaitu syahadah kamilah dan syahadah sirr. Syahadah sirr itu di hati, tidak lahir syahadah roh itu melainkan dengan syahadah kamilah. Jadi, kedatangan syahadah itu adalah disebabkan adanya roh. Jika tiada roh, tiadalah syahadah itu. Roh itu adalah sir Allah, zahir itu jadi kenyataan, inilah yang dikatakan kalimah kamilah @ sempurna, barulah sempurna kalimah syahadah yang kita syahadahkan, kerana kamilah itu adalah sirr. Jika seseorang tidak tahu kalimah sirr itu, maka pastilah (yakin) pada seseorang itu mengaku bahawa syahadah itu adalah syahadahnya.

Maka yang ada pada kita itu adalah untuk menyatakan anasir zat iaitu wujud, ilmu, nur dan syuhud @ zatNya, sifatNya, asmaNya dan af’alNya. Inilah yang dikatakan tajalli zat @ dikatakan syahadah. Jadi sifat ma’ani itulah syahadah @ kenyataan, yakni syahadah kamilah. Dan nyata syahadah kamilah itu dengan adanya syahadah sirr. Apa yang menjadi sirr ialah wujud, ilmu, nur dan syuhud.
Kamilah iaitu alam roh, alam mithal, alam ijsam dan alam insan yang ada pada makhluk khususnya pada Muhammad, kerana Muhammad adalah amanah. Yang menjadi amanah (hayat) iaitu alam roh. Hidup inilah yang hendak menyatakan zatNya, sifatNya, asmaNya dan af’alNya.

Kalau kita memahami dengan sebenar-benarnya faham, bahawa kita diibaratkan duduk di dalam lautan. Cuma kita tidak sedar kerana kita tidak lemas. Tetapi jika kita tahu, sememangnya kita lemas, kerana setiap orang yang berada di dalam lautan sudah semestinya lemas. Oleh kerana seseorang itu tidak sedar akan duduknya di dalam lautan, jadi sangkaannya “hidup” ini kepunyaannya, kerana dia belum mati. Inilah perbezaan antara orang yang tiada ilmu makrifah. Pada ahli makrifah, bahawa dia duduk di dalam lautan iaitu maul hayat @ lautan ahdah.

Maka mengambil ibarat antara cermin dengan bayang di dalam cermin. Jasad ini ibarat cermin dan gambar di dalam cermin itu adalah benda di hadapan cermin. Maka di hadapan cermin itulah gambarnya. Apa yang menjadi gambar kepada kita ialah hayat, ilmu, qudrah, iradah, sama’, basar dan kalam.

Gambar di hadapan kita iaitu nafas yang turun naik dan membawa segala perubahan. Maka sesiapa yang dapat memandang itu, lemaslah ia. Dan setiap yang lemas itu harus mati. Apabila sudah mati, yang hidup itu barulah zahir nama Allah iaitu hayyum, ‘alimun, qadirun, muridun, sami’un, basirun dan mutakallimun. Itulah syahadah!!!

Seperti ahli tahqiq menyatakan, “ Tukarlah cahaya dirimu itu dengan digantikan dengan cahaya Tuhannya”. Dan syahadah inilah yang terkandung di dalam 3 potong ayat iaitu;

1. Akulah Allah, tiada tuhan melainkan Aku
2. Maha suci Allah itu satu daripada tiga
3. Dan Allah menjadikan kamu dan setiap apa yang kamu lakukan


Setiap kejadian itu daripada Allah jua. Maka tidak zahir amanah itu melainkan dizahirkan manusia, kerana manusia itu sanggup menerima amanah Allah swt

Posted by Panglima Pangeran Cakrabuana

Monday, 14 December 2015

SENI TARI GENTAKKAN

Keris melela di dlm peti,
Peti dijaga singa barongan,
aknku juang biarpun mati,
asal kerisku jgn di tgn org...

Gayong Ma'arifat gerak terpuji 
Warisan pendekar zaman berzaman,
resam pendekar selalu diuji,
mudah-mudahan bertambah iman...

keris sempena besi kursani,
hulunya tanjong,bersulam intan,
org Melayu hendaklah berani,
hendaklah berani melawan syaitan...

jgn ditepuk susu di dulang,
ank harimau tidak dpt menyusu,
jgnlh pecah rahsia hulubalang,
nanti harimau hilang kuku...

jikalau ada dulang di tgn,
jgn biar jatuh terhempas,
jikalau ada senjata di tgn,
jgn biar org rampas...

Pecah gayung di dlm dulang,
Dulang hanyut di lautan tujuh,
pecah Gayung perpecahan sayang,
Di satu masa balik berpadu teguh...

Biduk berlalu kiambang bertaat,
kata bersahut Gayung menyambut...


Posted by Panglima Pangeran Cakrabuana


Sunday, 13 December 2015

TIDAK SEMUA PENYAKIT MISTERI , PELIK DAN TIDAK DAPAT DIRAWAT OLEH HOSPITAL BERPUNCA DARIPADA GANGGUAN.

Dalam masyarakat hari ini, Kita sering mendengar dan membuat andaian dan menyatakan jika seseorang itu mempunyai penyakit yang tidak boleh diubati oleh doktor dan hospital pastinya ianya melibatkan gangguan makhluk halus. Antara penyakit yang sering dilabelkan berkaitan dengan gangguan makhluk halus, sihir santau dan lain-lain ialah stress, kemurungan, gangguan emosi dan mental dan penyakit berkaitan dengan saraf yang mana pesakit tiba-tiba tidak boleh menggerakkan mana-mana anggota tubuh. Selain itu juga, penyakit kulit seperti gatal yang teruk, gatal yang sudah lama diubati tetapi tidak pulih. 
Di antara penyakit-penyakit yang saya sebutkan tadi, penyakit stress dan kemurunganlah yang paling dipandang serius dan sering dikaitkan dengan masalah gangguan. Kita biasa mendengar simptom stress adalah melibatkan :-
  1. Simptom Fizikal seseorang seperti perubahan corak tidur samada kurang tidur, terlebih tidur, sukar tidur, resah gelisah atau tidak selesa ketika hendak tidur. Selain itu, keletihan iaitu cepat rasa letih, perubahan penghadaman, sakit kepala, kesakitan pada bahagian-bahagian tubuh badan terutama pada bahagian belakang, senak perut, pening, pengsan, berpeluh pada tapak tangan dan kaki serta peluh pada badan yang berlebihan, menggeletar, rasa sesemut pada tangan dan kaki, sesak nafas dan berdebar-debar,sering fikir tentang kematian  mendengar bisikan dan halusinasi iaitu melihat objek pelik, roh, hantu dan sebagainya. 
  2. Simptom  Mental yang mana pesakit akan menjadi  kurangnya daya penumpuan atau pemfokusan dalam kerja, sukar mengingat, sukar membuat sesuatu keputusan, mudah keliru dan menjadi panik. 
  3.  Simptom tingkahlaku yang mana sikap seseorang itu berubah seperti contoh perubahan selera makan samada makan terlalu banyak atau terlalu sedikit, perut lapar tapi makan sedikit dah kenyang atau perut lapar makan banyak pun tidak kenyang. melakukan sesuatu perkara yang pelik dan  bertentangan norma masyarakat bercakap seorang diri, tiba-tiba menangis, ketawa , bercakap seorang diri, kegelisahan, suka menggigit kuku mengumpul air liur dalam mulut. 
  4.  Simptom emosi iaitu pesakit menjadi  kemurungan, hilang sifat sabar, cepat marah walaupun pada hal yang kecil, kemerosotan penjagaan kebersihan dan penampilan diri.
Kami tidak menafikan bahawa ada pesakit yang mempunyai simptom seperti diatas mereka mempunyai masalah gangguan makhluk halus samada sihir, santau atau sebagainya, tapi apa yang kami cuba kongsikan disini ialah terdapat juga pesakit yang mempunyai symptom seperti diatas tetapi tidak sama sekali ada kaitan dengan gangguan bahkan ianya disebabkan masalah fizikal pada tubuh pesakit itu sendiri. Disini kami ingin berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu yang ada pada kami berkaitan dengan pesakit yang mempunyai symptom seperti yang dinyatakan tetapi tidak sama sekali mempunyai kaitan dengan gangguan makhluk halus. 

Mengikut pengalaman dan ilmu yang kami pelajari, pesakit yang mempunyai simptom tersebut terjadi disebabkan masalah angin dan saraf pada tubuh pesakit. Seperti gambarajah sebelah saraf tunjang tunjang pada tubuh manusia memainkan peranan penting untuk mengawal tubuh manusia iaitu membawa oksigen ke kepala dan ia berkaitan dengan jantung, paru-paru, ginjal usus dan lain-lain. Oleh itu, simptom yang berlaku itu terjadi kerana saraf tunjang pada pesakit telah bengkak serta terhimpit dan mengakibatkan perjalannan oksigen tidak sampai ke otak seperti normal. Melalui pengalaman rawatan yang diberikan, kami mendapati jika himpitan saraf itu berlaku dalam lingkungan 30% pesakit akan mengalami simptom seperti perubahan corak tidur samada kurang tidur, terlebih tidur, sukar tidur, resah gelisah atau tidak selesa ketika hendak tidur. Selain itu, keletihan iaitu cepat rasa letih, perubahan penghadaman, sakit kepala, kesakitan pada bahagian-bahagian tubuh badan terutama pada bahagian belakang, senak perut, pening, sakit kepala seperti migrain,  berpeluh pada tapak tangan, menggeletar, rasa sesemut pada tangan dan kaki, sesak nafas dan berdebar-debar. Jika himpitan itu bertambah kuat sehingga 50% symptom yang sama akan berlaku tetapi dengan kadar yang lebih kuat seperti jika sebelum ini sukar hendak tidur pesakit akan menjadi langsung tidak tidur, hilang selera makan, sakit kepala makin kerap dan lain-lain. Bahkan dalam keadaan ini emosi pesakit menjadi lebih teruk, pesakit cepat marah, mudah mengamuk, hilang kesimbangan badan, mudah pengsan hilang fokus, mudah lupa, perasaan takut menjadi-jadi jika melihat orang ramai dan lain-lain lagi. Manakala jika himpitan pada saraf tunjang menjadi 80% pesakit akan mengalami simptom seakan-akan orang yang terkena gangguan. Kebiasaan pesakit akan mengalami halusinasi dimana mendapat bisikan supaya bunuh diri, mati, terjun pada tempat tinggi dan berbagai-bagai lagi. Pesakit juga akan mendakwa nampak lembaga pelik seperti roh, hantu dan sebagainya. Selain itu juga pesakit suka bersendirian, kadang menangis, kadang-kadang ketawa, bercakap bersendirian, menggigit kuku, menyimpan air liur dalam mulut dan lain-lain lagi. Kami sengaja menggunakan ayat  “lain-lain lagi”  kerana pada kami penyakit saraf terhimpit dan angin ini boleh membawa 1001 penyakit dan setiap pesakit mengalami simptom yang berbeza-beza. 

Kaitan antara saraf terhimpit dengan angin ialah dimana saraf terhimpit akan menyebabkan perjalanan angin didalam badan terganggu dan tidak stabil, ini juga menjadi punca kepada simptom tersebut. Bukan itu sahaja, perjalanan angin dalam badan terganggu dan tidak berjalan seperti sediakala akan menyebabkan pesakit sering sendawa, sakit pada hulu hati, terasa angin berada di tekak tetapi tidak sedawa dan jika sendawa ia merasa masam, rasa menyucuk pada bahagian jantung yang mana kesakitan seperti diserang penyakit jantung, kembung perut, senak perut, sembelit dan lain-lain lagi. Hal ini sering dikaitkan oleh masyarakat kita dengan menamakan masalah tersebut ialah , sakit angin medu, uluran, angin tuju, angin lebih dalam badan dan sebagainya, sehingga ada juga masyarakat dan perawat yang mendakwa pesakit yang mempunyai gejala tersebut terkena santau angin, buatan orang dan lain-lain gangguan. Masyarakat sering melabelkan dengan sedemikian kerana penyakit tersebut tidak hilang walaupun sudah berulang kali berjumpa dengan  doktor termasuk doktor pakar. Apa yang saya tahu Kebiasaan doktor akan mengaitkan gejala tersebut dengan gastrik bahkan jika simtom yang berlaku terlalu serius seperti kemurungan dan stress doktor akan merujuk kepada Doktor Pakar psikitrik, Wallaua’lam.

Kami berharap apa yang diperkongsikan ini tidak disalah ertikan. Kami menulis artikel ini bukanlah untuk mencari populariti serta mencari kelemahan atau menyatakan keburukan mana-mana pihak, artikel ini adalah untuk perkongsian maklumat dan perkongsian ilmu dalam bidang rawatan yang dipelajari. Kami juga mengharapkan ada perkongsian maklumat daripada semua perawat dan masyarakat termasuk daripada doktor sendiri. Kami akui, kami bukanlah yang terbaik, dan tiada diantara kita yang terbaik kerana semua ilmu yang dipelajari dan didapati adalah daripada ilmu Allah yang amat luas. Kami juga berharap suatu hari nanti kita semua samada perawat islam, bukan islam, rawatan alternatif dan rawatan sains dapat duduk semeja dan berbincang dan berkongsi maklumat dalam mencari jalan untuk memberi rawatan dan menolong semua manusia. Sesungguhnya kita semua bukan penyembuh Allah jua yang memberi kesembuhan dan kita hanyalah penyebab kepada kesembuhan itu melalui sedikit ilmu yang dipinjam, semoga kita merawat melalui dan seperti kehendak syariat Allah swt.

Info by Pusat Rawatan Tawakkal (Ustaz Abdul Manaf Bin Harun - Pengasas)
Posted by Panglima Pangeran Cakrabuana

Saturday, 12 December 2015

Syiah Vs Nasionalis Sekular

Saya tidak menyatakan Syiah tidak bahaya, tetapi saya agak pelik apabila sang harimau tiba-tiba berlagak baik mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya serigala. Baguslah kalau harimau tiba-tiba ingin menjadi baik, tetapi sekurang-kurangnya bersihkanlah taring dan kuku terlebih dahulu daripada daging mangsa

Jika Syiah Menipu, Nasionalis Sekular Apa Kurangnya?

Saya terbaca kenyataan seorang pemimpin sebuah parti politik yang menyebut tentang Syiah. Katanya, ciri utama Syiah ialah menipu. Saya sekadar ingin memberikan respon ringkas sahaja. Jika ciri utama Syiah disebut oleh beliau sebagai menipu, maka nasionalis sekular pun tidak kurang menipu berbanding Syiah. Tidakkah menipu namanya apabila mewar-warkan kononnya berjuang untuk kepentingan agama namun di dalam masa yang sama bekerja untuk membelakangi syariat agama tersebut? Tidakkah menipu namanya apabila bermegah-megah dengan binaan masjid yang banyak dan indah tetapi tidak berusaha mendaulatkan hukum Allah SWT? Sedangkan Allah SWT yang disembah di dalam masjid itu ialah Allah yang sama yang berkuasa di luar masjid? Atau mereka menyembah tuhan yang berlainan di dalam dan di luar masjid?

Hakikatnya, nasionalis sekular lebih hebat menipu berbanding Syiah. Syiah ialah musuh yang sudah muncul sejak berbelas abad. Ciri-ciri akidah mereka telah ditulis dan diterangkan oleh para ulama Sunnah di dalam banyak penulisan. Tinggal lagi, menjadi peranan para ulama untuk memastikan umat Islam tidak terjebak dengan penyelewengan Syiah. Saya tidak menyatakan Syiah tidak bahaya, tetapi saya agak pelik apabila sang harimau tiba-tiba berlagak baik mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya serigala. Baguslah kalau harimau tiba-tiba ingin menjadi baik, tetapi sekurang-kurangnya bersihkanlah taring dan kuku terlebih dahulu daripada daging mangsa.

Alasan untuk mengingatkan masyarakat tentang bahaya Syiah ialah agar umat Islam tidak berpecah belah. Saya sokong bahawa Syiah tidak wajar wujud di negara ini. Namun dengan meletakkan alasan agar umat Islam tidak berpecah belah menampakkan pemimpin berkenaan masih kabur dalam terang. Benarlah tanpa lampu suluhan akidah yang benar, meraba-rabalah dalam kegelapan sekalipun mata tidak buta.

Manusia hanya boleh bersatu dengan Islam. Bukan seruan kebangsaan yang boleh menyatukan manusia. Usahlah disebarkan khurafat moden bahawa merekalah satu-satunya tempat untuk Melayu bergantung. Sedarkah bahawa dahan yang didakwa kuat itu sedang mereput dimakan anai-anai? Di zaman Rasulullah SAW, bangsa Habsyah dan bangsa Parsi boleh tunduk di bawah naungan Islam dan bukannya seruan kebangsaan. Rasulullah SAW seorang yang berbangsa Arab tidak pernah sesekali menyeru kepada semangat kebangsaan. Bahkan sekalipun bangsa Arab seringkali mendakwa diri mereka sebagai bangsa yang mulia, ia tidak sekali-kali diungkapkan oleh baginda Rasulullah SAW. Inilah yang memikat bangsa lain untuk tunduk kepada Islam.

Jika nasionalis sekular itu benar-benar mahu masyarakat bersatu, campakkanlah ke laut ideologi kebangsaan yang tidak membawa apa-apa manfaat itu. Palsunya seruan yang dilaungkan sehingga bangsa pun tidak pernah dijaga. Kelantan menjadi bukti nyata. Negeri Melayu dipinggirkan dari pembangunan semata-mata kerana kerasukan politik sang harimau yang berpura-pura baik.

Justeru, janganlah mendabik dada diri sangat sebagai pembela Islam dengan menghentam Syiah. Masyarakat sudah bijak untuk menilai bahawa bukannya Syiah yang ingin diserang, tetapi parti lawan yang semakin mendapat sambutan. Jika benar ingin membasmi Syiah, lakukan sahaja tangkapan dan tidak perlu berdolak-dalik. Soalnya, bagaimana ingin membuat tangkapan sedangkan di dalam parti sendiri pun berselindung penganut ajaran sesat.

Saya tidak menamakan sesiapa di dalam tulisan ini. Alhamdulillah jika ia boleh difahami dengan baik.

Allayarham Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Mat,
Mantan Al-Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS)


Posted by Panglima Pangeran Cakrabuana

Friday, 11 December 2015

Imam Syafie Ditangkap Dan Dirantai

Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.

Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha’.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”

Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah”   kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”

Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”

Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.

Posted by Panglima Pangeran Cakrabuana

Thursday, 10 December 2015

Amalan Tahan Letih

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama ALLAH saya mulakan post. Hari ni kita haruslah bersyukur yang hari ini masih hidup dengan bernafas menggunakan hidung. Kalau sudah mula bernafas menggunakan mulut, cepat-cepatlah bertaubat. Kita banyak dosa, takut masa dijemput dalam keadaan yang kotor. Jadi hari ini, marilah kita menambah ilmu pengetahuan kita dengan mempelajari sebuah amalan untuk tahan letih. Dibawah adalah amalannya.

Kaedah:-
Amalkan membaca 2 ayat terakhir surah At-Taubah dari Quran. Cukup dibaca 7 kali setiap selesai solat 5 waktu dan jika mahu memakai, baca 3x sambil tahan nafas.

KENAPA PERJUANGAN KITA GAGAL

Semua orang yang berjuang mahukan kejayaan, kejayaan yang ingin dinikmati dunia dan akhirat,
Semua orang mahu perjuangannya diterima Allah.. Tiada orang mahu perjuangan yang sia-sia.
Kenapa perjuangan kita seringkali gagal???
Adakah kita tidak layak menjadi pejuang.
Oh! Itu mungkin kifarah dari Allah..
Perjuangan kita masih jauh, Ingatlah!
Wahai pejuang harapan bangsa dan agama,
Betulkanlah saf-saf barisan kita. Ayuh!
Bangkitlah!
Tinggalkan segala sifat tercela, Jangan tunggu Allah murka, nescaya celaka badan,
Marilah! Buang rasa hebat diri, Jangan sangka kita lebih dari orang,
Bersihkan hati! Hulurkan tangan persaudaraan,
Ketepikan rasa tamak, iri hati, syak wasangka sesama sendiri,
Hormat! Kasih sayang sesama sendiri.
Pemimpin melaksana tanggungjawab yang diberi,
Pengikut sama-sama mendokong tanggungjawab,
Barulah perjuangan kita diberkati Allah...



Pahlawan agama pejuang bangsa!
Dimana engkau? Usah terlena
Bangun semua sekarang masanya
Bawa Islam ke seluruh dunia
Buka gerak, syahadah di dada
Musuh merancang menghancurkan kita
Mereka ketawa melihat bangsa
Terus terlena dibuai dunia
Sedang mereka menakluk dunia
Kitakan dihina terus merana

Pahlawan agama pejuang bangsa!
Sedikit terseksa perkara biasa
Dalam berjuang tidak pernah selesa
Mengajar kita mengenal siapa
Siapa DIA dan siapa kita?
Hamba yang lemah lagi hina
Bangun pahlawan bukalah mata!
Binalah strategi kita ke sana
Hancurkan mereka, mereka yang menghina
Meludah kita mempermainkan agama
Buktikan mereka siapa kita
Kitalah pahlawan pejuang agama..


Gayong Ma’arifat tari dibuka, Lembut tari membelai jiwa, Jangan disangka lembut semata, Islam dijunjung adat dijaga, Jangan dihina jangan dipersia, Akanku amuk seluruh dunia, Biar terkorban biar terhina, Agar Islam terus terbela..
Semoga Pejuang Melayu dan Islam kembali bermuafakat, bersatu hati dan rapatkan saf-saf perjuangan demi survival sebuah bangsa Melayu dan ummah Islam yang semakin terancam dari setiap sudut kehidupan ini...
(by: Shucre Ebrahim)


“Ya Allah, peliharalah aku dan keluargaku, Engkau kunci segala gerak sendi musuhku, Engkau tawarkan segala ilmu dan sihir musuhku.”


“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak (benar) itu dengan yang bathil (salah), dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (QS2:42)

“Apakah kamu masih mengharapkan mereka akan percaya kepadamu, padahal segolongan dari mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahuinya.” (QS2:75)

“Alangkah buruknya (perbuatan) mereka yang menjual dirinya sendiri dengan kekafiran kepada apa yang telah diturunkan Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan kurniaNYA kepada siapa yang dikehendakiNYA diantara hamba-hambaNYA. Kerana itu, mereka mendapat murka sesudah (mendapat) kemurkaan. Dan untuk orang-orang kafir seksaan yang menghinakan.” (QS2:90)

“Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu ayat-ayat yang jelas nyata, dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.” (QS2:99)

“Tidakkah kamu mengetahui bahawa kerajaan langit dan bumi adalah kepunyaan Allah? Dan tiada bagimu selain Allah seorang pelindung mahupun seorang penolong.” (QS2:107)

“Katakanlah: Apakah kamu memperdebatkan dengan kami tentang Allah, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu, bagi kami amalan kami, bagi kamu amalan kamu dan hanya kepadaNYA kami mengikhlaskan hati.” (QS2:139)


Panglima Pangeran Cakrabuana